FABD lakarkan pencapaian 100 hari pertama penuh signifikan





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mei. - Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) melakarkan perkembangan yang sangat signifikan sejak bermulanya musim pengurusan baharu yang diterajui Jawatankuasa Eksekutif FABD bagi Sesi 2024-2028.


Kemajuan ini dicatatkan melalui Majlis Meraikan Pencapaian 100 Hari Pertama FABD bagi Sesi 2024-2028 yang diselajurkan dengan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara FABD dengan beberapa buah syarikat dilangsungkan di Rumah FABD, di sini.


Hadir memeriahkan acara ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Presiden FABD, Awang Haji Feisal bin Haji Mohd. Eusoff dalam ucapan alu-aluan menjelaskan hasrat untuk merubah landskap bola sepak negara semakin hari telah menampakkan sinar menerusi usaha-usaha yang gigih dengan mengadakan beberapa langkah dan perancangan bagi jangka pendek dan panjang.


“Kami memulakan tugas selaku peneraju baharu FABD dengan mengharungi cabaran-cabaran dalam usaha untuk memperbaiki dan memperkemas kini situasi yang ditinggalkan oleh pengurusan FABD sebelum ini. Kegigihan dan semangat tanpa putus asa, FABD mampu melangkah dengan pencapaian-pencapaian dan perkembangan yang sangat memberangsangkan." jelas Presiden FABD.


Awang Haji Feisal juga menyentuh perkembangan yang paling membanggakan apabila Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam telah memenangi perlawanan antarabangsa buat julung kalinya dalam tempoh 65 tahun. 


Menurutnya, kejayaan Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam menewaskan Pasukan Vanuatu dengan jaringan 3-2 pada perlawanan FIFA Series di Jeddah pada 26 Mac lalu menjadi impak positif sebagai penyuntik nadi dan mendorong langkah kepada perkembangan dan kemajuan bola sepak negara.


Pada perlawanan FIFA Series, Presiden FABD menjelaskan, Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam telah diberi kepercayaan untuk mewakili AFC yang berdepan dengan pasukan-pasukan dari wakil konfederasi bola sepak dari benua-benua yang lain.

 

“Dengan suntikan dan semangat yang tinggi kepada pemain-pemain, pasukan kita berjaya membuktikan keupayaan untuk bersaingan pada peringkat yang lebih jauh. Diharap pencapaian yang sangat bererti ini akan menjadi landasan terbaik kepada pemain-pemain untuk terus berusaha gigih mengangkat pencapaian bola sepak Negara Brunei Darussalam pada kejohanan-kejohanan dalam semua peringkat yang disertai nanti," jelasnya.


Sementara itu, majlis juga menyaksikan penandatanganan beberapa buah syarikat yang berminat untuk menjadi penaja dan usaha sama dengan FABD.


FABD telah diwakili oleh Pemangku Setiausaha Agung, Awang Matali bin Haji Tahir dan disaksikan oleh Presiden FABD sementara syarikat-syarikat Oris Sdn. Bhd., Pan Bright, Tru Fitness-Harun Gym, Arrowtech Sports, Kelme, Nimanja dan HiTunes telah diwakili oleh Pengarah Urusan syarikat berkenaan.


Presiden FABD menjelaskan penandatanganan itu juga merupakan satu lagi 'milestone' pencapaian FABD yang telah mendapat kepercayaan pihak-pihak swasta atas usaha untuk bergerak ke arah kemajuan.


“Kerjasama dan usaha sama ini bukan sahaja diterima daripada pihak swasta tempatan dan FABD ketika ini merangka bagi menyediakan dokumen untuk mengadakan perjanjian persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama," jelas beliau.


Perancangan bagi mengadakan MoU itu merupakan adalah hasil daripada Lawatan Rasmi FABD ke atas jemputan Presiden SAFF di Arab Saudi pada bulan Mac lalu.


Sementara itu, FABD akan terus membina hubungan-hubungan yang kukuh dengan 'stakeholder' dengan mengimplementasikan inisiatif strategik bagi memacu kemajuan FABD.


Melalui majlis tersebut, FABD juga mengambil peluang untuk menyampaikan derma kepada 35 anak-anak yatim dan keluarga-keluarga asnaf bagi membantu meringankan beban mereka dalam mengharungi Sambutan Aidilfitri di negara ini.


Juga hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, perwakilan-perwakilan daripada kedutaan-kedutaan serta perwakilan-perwakilan daripada sektor swasta.


Close